fb fb fb fb fb

Nahas FRU: Kertas siasatan dijangka siap hujung bulan Jun

Keadaan lori muatan batu (kiri) dan trak FRU (kanan) yang terbabit di Jalan Chikus-Sungai Lampam ketika tinjauan fotoBERNAMA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 6 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kertas siasatan terhadap syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sehingga mengorbankan sembilan anggota di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata siasatan awal mendapati terdapat pelanggaran syarat permit oleh syarikat terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati ada kesalahan yang boleh disabitkan kerana melanggar syarat permit, iaitu membawa muatan yang tidak dibenarkan,” katanya kepada media selepas Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di sini.

Tambahnya, kertas siasatan dijangka siap hujung bulan ini dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Dalam kejadian 8.50 pagi 13 Mei lalu, sebuah trak FRU dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam terbabit dalam nahas lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi anggota mengalami pelbagai kecederaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN