KUALA LUMPUR, 6 Jun- Pelaksanaan pembangunan berasaskan transit atau Transit Oriented Development (TOD) dilihat langkah berkesan dalam memastikan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam secara menyeluruh.
Profesor Perancang Bandar Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam, Prof Datuk Dr Mizan Hitam berkata, pendekatan tersebut memberi impak positif dalam mengurangkan kesesakan, meringankan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup di bandar.
"Jadi mungkin yang paling praktikal dalam masa terdekat menyediakan satu ruang tanah yang sesuai pembangunan yang vertikal tidak terlalu tinggi tapi munasabah rumahnya mampu disewa dengan harga yang reasonable supaya mereka tidak pergi ke tempat kerja menggunakan kenderaan persendirian. Dan kalau dilihat dalam konteks untuk faktor berjaya pembangunan itu perlu juga seimbang, maknanya rumah itu perlu ada kawasan komersialnya yang bersesuaian dengan tahap tersebut,' katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Tambah beliau, pembangunan transit lebih memfokuskan kepada penyediaan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam ke tempat kerja agar tidak perlu bergantung kepada penggunaan kenderaan persendiriaan
Namun beberapa elemen penting perlu diambil kira dalam pembangunan TOD, termasuk penyediaan rumah mampu milik atau mampu sewa, agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Prof Datuk Dr Mizan mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan projek perumahan rakyat dibina berdekatan stesen pengangkutan awam berikutan kadar penggunaan perkhidmatan itu masih rendah iaitu sekadar 20 peratus sahaja.