SEPANG, 6 Jun - Seramai 21 petugas termasuk media tempatan berlepas ke Kemboja hari ini bagi menyertai Program Kembara Kemboja 2025/1446H anjuran bersama Surau Al Barakah Bank Rakyat dan Maahad Imam Syafie, sempena sambutan Aidiladha esok.
Penerbangan tersebut berlepas kira-kira pukul 10.30 pagi dengan menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Lumpur Terminal 2 (KLIA2).
Program berbentuk misi kemanusiaan selama empat hari itu berlangsung di dua lokasi iaitu Kampot dan Phnom Penh bertujuan menyantuni masyarakat Islam setempat melalui ibadah korban serta penyampaian bantuan makanan asas.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, pihaknya menyumbang 45 ekor lembu di dua lokasi terpilih iaitu Masjid Kampung Tràpeng Pring dan Maahad Imam As-Syafie, Kampung Keh.
“Anggaran sekitar 1,000 penduduk akan menerima sumbangan daripada pihak kami, yang akan diagihkan di dua kawasan iaitu Kampot dan Phnom Penh.
"Program ini bukan sekadar meraikan pendeposit tetapi juga membantu mereka yang benar-benar memerlukan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nor Haimee berkata, kos keseluruhan mencecah RM1.5 juta menerusi hasil kutipan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban Bank Rakyat.
Akaun tersebut memberi peluang kepada pendeposit untuk menunaikan ibadah korban sama ada di dalam negara atau luar negara seperti Kemboja melalui tabungan/simpanan secara ansuran bulanan.
Tambah beliau, penyertaan media dalam program itu membolehkan mereka menyaksikan sendiri realiti kehidupan masyarakat Islam di Kemboja.
"Selama ini kita hanya melihat ibadah korban di Malaysia. Di Kemboja, kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana masyarakat di sana hidup dalam kesusahan dan benar-benar menghargai setiap sumbangan yang diberikan.
"Jadi, kami berharap agar program seperti ini akan memberi manfaat kepada kita serta ummah Islam di Kemboja," katanya.
Program Kembara Kemboja dijangka terus menjadi program tahunan Bank Rakyat dalam memperluaskan usaha kebajikan ke peringkat antarabangsa di samping mengukuhkan hubungan dengan komuniti serantau.