fb fb fb fb fb

ICQS Rantau Panjang sesak sejak kelmarin

ICQS Rantau Panjang sesak, orang ramai beratur sejak 5 pagi.

RANTAU PANJANG, 6 Jun - Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mengalami kesesakan sejak kelmarin, berikutan warga Thailand yang berada di Malaysia mula pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Tinjauan RTM hari ini mendapati, orang ramai beratur panjang di pintu masuk bagi menunggu giliran untuk pemeriksaan pasport serta permit pekerjaan.

Mereka kelihatan begitu teruja dapat pulang beraya di kampung halaman selepas beberapa bulan mencari nafkah di negara ini.

Difahamkan, mereka sudah mula menunggu di pintu masuk seawal 5 pagi sebaik sahaja tiba di stesen bas Rantau Panjang.

Malah laluan kenderaan untuk ke ICQS juga sesak sehingga satu kilometer sejak pukul 6.30 pagi tadi.

Warga Thailand yang ditemui rata-rata teruja untuk pulang ke kampung, namun cabaran untuk menunggu lama di pintu masuk bagi proses pemeriksaan agak melelahkan mereka.

Adam Zakaria yang juga warga Thailand menzahirkan keterujaan untuk pulang berhari raya di kampung setiap kali musim perayaan, tetapi apabila perlu berhadapan dengan kesesakan selama berjam-jam, hasrat tersebut terkubur.

"Kalau boleh memang setiap raya kita nak balik, tapi memandangkan keadaan selalu seperti ini, tak sanggup," ujarnya.

Bagi Ida Mohamad pula, kemeriahan sambutan di kampungnya di Pattani membuatkan dia dan keluarga nekad untuk meredah cabaran di ICQS itu.

"Saya dan keluarga wajib balik walau apa juga keadaan. Nak berkumpul dengan keluarga sana. Raya kat sana meriah, berbeza sangat dengan Kuala Lumpur," beliau berkata ketika ditemui di sini.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM