KUALA LUMPUR, 11 Jun– Empat Waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam tragedi kemalangan maut di Teluk Intan, Perak bulan lalu menerima hibah bagi manfaat perlindungan takaful.
Menerusi kenyataan, Bank Rakyat memaklumkan bahawa manfaat tersebut meliputi khairat kematian dan badal haji daripada bank terbabit.
Penyerahan manfaat tersebut disampaikan Naib Presiden Kanan Deposit Runcit dan Pengurusan Kewangan Bank Rakyat, Dr. Mokhrazinim Mokhtar dan Pengarah Wilayah Utara Bank Rakyat, Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali.
Penyerahan dilakukan berasingan kepada waris keluarga terbabit di Ipoh, Perak dan Bertam, Pulau Pinang.
Mereka terdiri daripada waris kepada Allahyarham Damarrulan Abdul Latif dan Allahyarham Akmal Wafi Annuar yang juga merupakan pelanggan Bank Rakyat termasuk Takaful Amani Plus serta Takaful Hayati yang menyediakan perlindungan dan pampasan kewangan bagi kematian atau hilang upaya semula jadi serta kerugian akibat kemalangan diri.
Selain itu, Allahyarham Pozli Jaudin dan Allahyarham Roslan Abd Rahim turut menerima manfaat khairat kematian anggota berjumlah RM3,000 setiap seorang.
Pihaknya juga turut bersimpati atas kehilangan yang dialami oleh keluarga mangsa dan berharap penyerahan itu bakal memberi manfaat dalam membantu ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan harian.