KUALA LUMPUR, 11 Jun- Lebih 12,000 kilogram daging korban telah diagihkan kepada pelbagai golongan termasuk asnaf, guru-guru agama dan keluarga dalam kumpulan B40 menerusi Korban Al-Falah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata kejayaan program itu mencerminkan nilai ihsan, kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi teras gagasan Malaysia MADANI.
"Ia turut dapat memperkukuh kebajikan ummah, malah menjadi medan untuk mempererat jaringan kerjasama strategik antara agensi dan masyarakat," kata kenyataan itu.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak YAPEIM serta semua rakan strategik serta sukarelawan yang telah menjayakan program itu dengan penuh komitmen dan amanah.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 10 Jun itu dilaksanakan serentak di 126 lokasi di seluruh negara melibatkan 145 ekor lembu sembelihan dan 60,000 penerima manfaat.
Orang ramai juga diseru terus menyokong serta menyumbang supaya dapat memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan akan datang.