KUALA LUMPUR, 11 Jun – Satu sistem pangkalan data komprehensif melibatkan semua pemandu bas pengangkutan awam, termasuk bas ekspres dan bas persiaran, akan dibangunkan bagi memperkukuh aspek keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sistem yang sedang dirancang oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu akan mengandungi rekod penuh termasuk kesalahan lampau setiap pemandu.
“Melalui sistem ini, mana-mana pemandu yang mempunyai rekod kesalahan boleh disenaraihitamkan, sekali gus mengelakkan mereka berpindah dari satu syarikat ke syarikat lain walaupun telah dipecat," ujarnya dalam Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.
Jelasnya lagi, sistem ini akan membolehkan syarikat-syarikat bas menyemak latar belakang serta menilai kelayakan pemandu sebelum mereka diambil bekerja.
Ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan berintegriti diambil sebagai pemandu.
Beliau menjelaskan, ketika ini tiada sistem pangkalan data berpusat yang merangkumi keseluruhan rekod pemandu bas, sebaliknya hanya sistem perlesenan sedia ada.
Tegasnya, pihak kementerian akan berusaha untuk membangunkan sistem ini dengan kadar segera selain memberi perhatian khusus kepada aspek latihan serta penilaian ke atas pemandu-pemandu bas sedia ada.