fb fb fb fb fb

Aliran masuk pelabur asing tertinggi pada Mei didorong keyakinan pelabur

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 JUN - Penangguhan pelaksanaan tarif balas serta rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat yang sedang berlangsung kembali meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk membeli saham tempatan.

Keyakinan itu dizahirkan menerusi aliran masuk bersih pelabur asing ke dalam pasaran modal Malaysia yang mencecah RM14.4 bilion pada bulan Mei, tertinggi dalam tempoh sembilan tahun sejak Mac 2016.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, lonjakan itu didorong oleh pembetulan teknikal pasaran susulan tekanan jualan pada April lalu.

“Pengumuman penangguhan pelaksanaan tarif timbal balik oleh Presiden Trump serta rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dengan negara terlibat, termasuk Malaysia, turut menggalakkan pelabur asing membeli saham tempatan yang dianggap terkurang nilai akibat tekanan jualan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, trend jualan bersih juga semakin berkurangan susulan ketegangan perdagangan yang kian reda, hasil rundingan perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu yang sedang berlangsung di London.

Dalam pada itu, Mohd Sedek menjelaskan, pelabur kini lebih cenderung memilih instrumen bon berbanding saham, ekoran bon menawarkan impak pasaran yang lebih rendah serta pulangan lebih stabil dalam suasana global yang tidak menentu.

Mengulas mengenai pergerakan ringgit pula beliau berkata, pengukuhan secara beransur-ansur mata wang tempatan memberi kesan positif, terutamanya kepada sektor yang bergantung kepada permintaan domestik.

Keadaan itu secara tidak langsung meningkatkan pulangan pelabur asing apabila ditukar kepada mata wang asal mereka, sekali gus menyokong kemasukan dana asing ke dalam pasaran tempatan.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik langkah kerajaan untuk memperluas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula Julai 2025, yang dilihat mampu menarik lebih banyak aliran masuk asing.

“Peluasan SST bertujuan mengurangkan jurang defisit fiskal negara, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan. Ini merupakan antara elemen penting yang dinilai oleh pelabur asing, terutamanya institusi, sebelum membuat keputusan untuk mengalokasikan aset mereka,” jelasnya. 

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM