fb fb fb fb fb

Laporan awal insiden nahas FRU dimuat naik dalam laman sesawang MOT

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang media bersama di IPPTAR, Kuala Lumpur. - Foto IPPTAR

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengeluarkan laporan awal insiden nahas melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bulan lalu di Perak kepada umum, esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan berkenaan akan dimuat naik dalam laman web rasmi kementerian dan orang ramai boleh mengaksesnya di situ.

“Laporan awal insiden ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat pagi tadi. Ia masih bersifat awal dan bukan laporan penuh", katanya semasa Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Menurut beliau, laporan itu turut merangkumi penemuan teknikal daripada beberapa agensi termasuk Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan.

Justeru, tujuan laporan ini didedah kepada umum adalah untuk orang awam mengetahui fakta-fakta berhubung insiden berkenaan.

"Ia juga bertujuan memberi ruang kepada penyelidik, terutamanya pakar keselamatan jalan raya, untuk meneliti maklumat teknikal yang ada dalam usaha memperkukuh landskap keselamatan di jalan raya,” jelasnya.

Terdahulu, sembilan anggota FRU terkorban dalam nahas membabitkan trak yang dinaiki mereka dengan sebuah lori di Jalan Chikus–Sungai Lampam, berhampiran Teluk Intan, Perak bulan lalu.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM