fb fb fb fb fb

Perak saran tambah baik jajaran JRTB, fasiliti kesihatan Hospital Gerik

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/BERNAMA

IPOH, 11 Jun- Kerajaan Perak akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan menambah baik laluan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Perak dan Kelantan termasuk mempertimbang pembinaan jajaran baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.

"Sudah tiba masanya jajaran dan keadaan jalan itu dikaji semula secara menyeluruh kerana sebahagiannya telah menampakkan dasar tanah dan tidak lagi sesuai untuk ditampal secara tampalan biasa," kata Datuk Saarani kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutupan Hari Eksport Perak 2025, di Ipoh.

Tambahnya, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyediakan satu kertas cadangan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, satu lagi kertas cadangan akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan menaik taraf Hospital Gerik serta menambah bilangan pakar perubatan dan fasiliti kesihatan di kawasan laluan berkenaan.

Ujarnya, kedua-dua kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir ke Program MADANI Rakyat di Lumut, 15 Jun ini.

Terdahulu, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki pelajar UPSI hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Alza lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM