fb fb fb fb fb

Dadah bernilai lebih RM4 juta dijumpai dalam kereta ditinggal di tepi jalan

Foto Polis Perak

IPOH, 11 Jun - Polis Perak menemui sejumlah 123.1 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4.7 juta di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Loji Taman Pulai Savana, Gerik.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pihaknya menerima laporan daripada penduduk yang curiga dengan keberadaan kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) itu yang seterusnya membuat pemeriksaan pada pukul 1 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 80 peket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 82.8 kilogram (kg) dan 39 peket Ketamin seberat 40.3 kg dijumpai di dalam bonet belakang kereta tersebut.

"Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar negeri Perak dan negeri-negeri berhampiran, yang boleh digunakan kira-kira 350 ribu penagih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tambahnya, semakan terhadap nombor casis kenderaan itu mendapati ia telah dipotong dan nombor enjin juga telah diganggu.

Namun, apabila pemeriksaan lanjut dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang jururawat di Serdang, Selangor.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM