KUANTAN, 11 Jun - Solusi yang diperoleh menerusi Sidang Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) akan dibahaskan dengan lebih mendalam di parlimen negara-negara anggota ASEAN seterusnya diharap dapat memberi manfaat kepada lebih 700 juta rakyat di rantau itu.
Menurut Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul, perbincangan menerusi sidang tersebut membolehkan langkah proaktif dipraktikkan dalam pengukuhan kesalinghubungan ASEAN, termasuk dari segi pemerkasaan perundangan rentas sempadan.
"Untuk melihat dengan lebih jauh, kaedah tertentu dan undang-undang yang konkrit perlu digembleng dan dilaksana bukan sahaja di Malaysia tetapi juga bersama negara anggota (ASEAN) ke arah usaha menangani jenayah seperti dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia," ujar beliau ketika ditemui selepas menjadi tetamu di konti Pahangfm di Kuantan.
Beliau yang juga Presiden AIPA berkata, resolusi yang diluluskan pada mesyuarat kali ini akan menjadi panduan penting bagi setiap negara anggota untuk memperkukuhkan usaha memerangi isu-isu berkenaan.
"Jadi kita ada pemikiran baru yang telah dibincangkan dalam AIPACODD ini supaya kita dapat berkongsi pengalaman daripada Thailand, Kemboja, Vietnam, Singapura, Indonesia dan negara-negara lain untuk mencapai satu solusi dan sekaligus membentangkan kepada kerajaan untuk bertindak seperti yang telah dibincangkan," tambah beliau.
Sidang AIPACODD kali ke-8 yang berlangsung selama dua hari di Kuantan, berakhir hari ini dengan Filipina bakal menjadi tuan rumah untuk sidang mesyuarat akan datang.