fb fb fb fb fb

Nahas anggota FRU: Pemandu lori pasir ada rekod lampau, siasatan masih diteruskan

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (tengah)

TELUK INTAN, 13 Mei- Pemandu lori pasir yang terlibat dalam nahas maut membabitkan konvoi Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pagi tadi, disahkan memiliki enam rekod lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan narkotik dan trafik.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin bagaimanapun berkata, saringan awal mendapati pemandu tersebut bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Jelasnya, siasatan terhadap lelaki berusia 45 tahun itu masih diteruskan.

"Siasatan awal, kita telah tahan pemandu lori pasir yang terlibat dalam kemalangan ini. Setakat ini, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu tersebut telah menjalani ujian air kencing dan disahkan negatif daripada sebarang bahan terlarang," kata Datuk Noor Hisam kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, tengah hari tadi.

Sementara itu, beliau mengulas lanjut, selesai proses bedah siasat, sembilan jenazah akan disembahyangkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak sebelum dibawa ke Markas Unit 5 FRU Sungai Senam untuk penghormatan terakhir.

Terdahulu, kira-kira pukul 8.51 pagi di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Langkap, trak FRU dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh yang membawa 18 anggota polis telah dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah lori muatan pasir.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Teluk Intan.

Dua lagi anggota sedang dirawat di zon merah, manakala tujuh lagi berada dalam pemantauan di zon kuning.

Kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM