KUALA TERENGGANU, 13 Mei-Kira-kira 500 sukarelawan Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turun padang bagi mendekati pelajar sekolah negeri itu bagi menerapkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan memberi ruang kepada golongan berkenaan menerokai bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut Pengarah Pusat Asasi STEM UMT, Dr Laili Che Rose, program berkenaan menyasarkan untuk melahirkan lebih seribu sukarelawan mahasiswa pada masa akan datang bagi menyokong agenda pendidikan negara.
Katanya, para pelajar UMT akan turun padang secara bergilir-gilir ke 80 buah sekolah angkat di bawah seliaan Pusat Asasi STEM UMT bagi membantu murid dalam pembelajaran subjek STEM secara interaktif.
“Pelajar-pelajar kami melalui subjek Kesukarelawanan STEM akan turun ke sekolah dan membantu adik-adik pelajar mengenai bidang STEM ini.
"Kita mahu melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran holistik iaitu mereka boleh bercakap, berkomunikasi.
"Kita tidak mahu pelajar yang hanya cemerlang akademik tetapi tidak boleh menyampaikan idea,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Zukiferee Ibrahim berkata, usaha berkenaan turut melibatkan peluasan jaringan sekolah angkat di seluruh Terengganu dalam tempoh jangka panjang.
“Kita akan ke sekolah-sekolah angkat untuk menambah bilangan sekolah dan, untuk jangka masa panjang, kita harap minat serta perhatian pelajar terhadap STEM dapat disebarluaskan.
"Ini penting kerana hari ini antara cabaran utama adalah menarik lebih ramai pelajar ke dalam bidang ini,” jelasnya.
Terdahulu, kedua-duanya hadir sebagai tetamu di konti Terengganu FM di sini hari ini.