KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima peruntukan sebanyak RM460 juta sebagai persediaan menghadapi bencana.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi dana itu 10 kompleks tandas lengkap dengan bekalan air bersih akan ditambah di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Kemudahan ini juga boleh dimanfaatkan murid sekolah pada bila-bila masa. Kerajaan Persekutuan juga membenarkan semua kerajaan negeri menggunakan dana MARRIS bagi memperoleh Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge).
"...dan melaksanakan kerjakerja pembesaran longkang dan parit di jalan negeri yang rosak, terlalu kecil dan tidak selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.
Selain itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda.
GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) pula akan terus membantu kebajikan individu terjejas bencana melalui geran padanan RM20 juta.