KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sebanyak RM2.2 bilion disediakan sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi mengikut jadual, termasuk 12 RTB baharu yang mula dilaksanakan tahun hadapan.
"RTB berkenaan ialah RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, RTB Sungai Chaah, di Johor; RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu di Kedah; RTB Sungai Lenggeng, RTB Sungai Gemencheh, RTB Sungai Jimah Fasa 2, RTB Sungai Si Rusa, di Negeri Sembilan dan RTB Sungai Buloh Fasa 2, Selangor.
"Di sebelah utara meliputi RTB Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang; RTB Sungai Trong, Larut, Matang Dan Selama, Perak. Manakala di sebelah Pantai Timur meliputi RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus dan RTB Anak Sungai Ibai di Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.
Selain itu lebih RM260 juta bagi mencegah, menyelenggara dan membaiki cerun seluruh negara termasuk Jalan Persekutuan bagi mengelakkan bencana.
Manakala RM55 juta untuk membersihkan dan menaik taraf longkang dan parit di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu Perdana Menteri turut meluluskan RM39 juta untuk projek tebatan banjir fasa kedua dan segera membina semula satu blok sekolah yang terkesan banjir di Inanam, Sabah.
Bagi menyokong pengurusan risiko bencana, Labuan IBFC akan memperkenalkan Program Insurans Kaptif MADANI sebagai instrumen baharu pengurusan risiko negara.
"Ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada dana awam dengan menyalurkan pembiayaan risiko melalui platform insurans dan takaful kaptif yang lebih efisien dan kos efektif," katanya.