NADI boleh dimanfaatkan untuk BDR

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI negeri Johor.

JOHOR BAHRU, 5 April – Kemudahan Internet dan fasiliti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) boleh dimanfaatkan untuk mereka yang terlibat dengan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua NADI akan diselaraskan terutama di bandar untuk menjadi tempat kerja dan menyediakan fasiliti serta internet.
  • Ramai NADI sudah dimanfaatkan untuk mesyuarat dalam talian oleh badan seperti Amanah Ikhtiar tanpa halangan untuk perluasan penggunaan.
  • Pengerusi Panel Penasihat NADI diwujudkan sebagai badan sokongan kluster Parlimen; 26 pengerusi dilantik melibatkan semua kawasan Parlimen.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata NADI boleh dijadikan ‘rumah kedua’ bagi mereka yang terlibat dengan BDR, menjelang pelaksanaannya bermula 15 April ini.

“Semua NADI akan diselaraskan terutama di bandar-bandar, untuk menjadi tempat sekiranya masyarakat ingin melaksanakan kerja dan memanfaatkan fasiliti serta internet, bagi
melaksanakan pekerjaan, semasa dasar itu dilaksanakan.

“Memang pada waktu ini, banyak NADI yang dimanfaatkan untuk tujuan mesyuarat dalam talian bagi badan-badan dan agensi-agensi seperti Amanah Ikhtiar dan lain-lain. Jadi saya tidak melihat ada apa-apa halangan untuk kita perluaskan penggunaan NADI bagi tujuan bekerja dari rumah,” kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI negeri Johor, di sini hari ini.

Ketika ini terdapat sebanyak 1,098 buah NADI di seluruh negara dengan 101 buah NADI berada di Johor.

Pada masa sama beliau memaklumkan, satu lagi NADI di Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, sedang dalam pembinaan dan dijangkakan akan siap tiga bulan lagi, menjadikan 1,099 NADI di seluruh negara dengan 1.9 juta ahli berdaftar.

Pengerusi Panel Penasihat NADI diwujudkan sebagai badan sokongan di peringkat kluster Parlimen bagi memperkukuh pelaksanaan program dan peranan NADI sebagai hab pemeriksaan komuniti.

Seramai 26 Pengerusi Panel Penasihat NADI dilantik hari ini melibatkan semua kawasan Parlimen.

Dalam perkembangan sama, Datuk Fahmi memaklumkan, NADI bakal bekerjasama dengan Jabatan Penerangan untuk menyantuni komuniti setempat, melalui Komuniti Madani.

Komuniti Madani akan dilantik untuk membantu menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan. Sementara di Johor, watikah pelantikan Pengerusi Komuniti Madani akan dilaksanakan pada pertengahan bulan ini.

“Insya-Allah kita akan serahkan surat-surat pelantikan bagi Pengerusi Komuniti Madani di seluruh negeri Johor pada pertengahan bulan April ini dan saya minta supaya ada kerjasama erat di antara NADI dan Jabatan Penerangan supaya rakyat di satu-satu kawasan itu mendapat maklumat yang tepat dan manfaat sepenuhnya daripada perubahan digital yang sedang kita alami di seluruh negara,” katanya.