fb fb fb fb fb

MySejahtera kemas kini dua ciri terbaharu

(Ciri baharu diperkenalkan di MySejahtera, ialah ciri untuk paparan rekod saringan
kesihatan dan ciri untuk paparan rekod imunisasi di MySejahtera bermula
dengan bayi yang dilahirkan selepas 1 Julai 2022/FOTO HIASAN BERNAMA)


IPOH, 16 Julai- Maklumat kesihatan orang ramai hanya akan dimasukkan ke dalam data aplikasi MySejahtera sekiranya mendapat kebenaran pengguna, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata tiada paksaan dalam penggunaan aplikasi tersebut yang kini berubah wajah dengan penampilan ciri-ciri baharu dalam memberi informasi terkini berhubung tahap kesihatan pengguna.

Jelas beliau, ciri baharu diperkenalkan di MySejahtera, ialah ciri untuk paparan rekod saringan kesihatan dan ciri untuk paparan rekod imunisasi di MySejahtera bermula dengan bayi yang dilahirkan selepas 1 Julai 2022.

"Ia akan terus masuk ke dalam MySejahtera, kita tak perlu kemas kini hanya bagi kebenaran kepada klinik itu sahaja, seterusnya maklumat ini akan dimasukkan dan dihantar terus dan akan dipapar pada MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Perak di Meru Raya, Ipoh bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM), menerusi kenyataan, memaklumkan usaha memaparkan rekod kesihatan dan imunisasi di MySejahtera adalah sebahagian daripada langkah KKM untuk memudahkan orang ramai menyimpan rekod kesihatan mereka secara digital.

Menurut kenyataan itu, dengan akses rekod yang lebih mudah,masalah seperti kehilangan buku imunisasi atau tiada simpanan rekod saringan akan dapat
diatasi.

"KKM juga berharap agar MySejahtera akan terus memainkan peranan sebagai satu alat untuk orang ramai menukar gaya hidup kepada yang lebih sihat apabila mereka dapat memantau sendiri tahap kesihatan dengan lebih mudah.

(Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kiri) menyampaikan cenderahati istimewa kepada Menteri Besar Perak
Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) pada Program Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)
Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah)


"Orang ramai dinasihatkan untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan dua ciri terbaharu ini.

"Kedua-dua ciri ini ini boleh dimuat turun ke aplikasi MySejahtera seawal hari ini, bergantung kepada gudang aplikasi telefon bimbit masing-masing," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KKm turut memaklumkan ciri paparan rekod saringan akan memaparkan maklumat kesihatan pengguna yang menjalankan saringan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di klinik kerajaan.

"Di bawah modul ini terdapat maklumat mengenai ketinggian, berat badan, BMI, jenis darah, laporan kesihatan, laporan keputusan ujian makmal dan rekod vaksinasi.

"Bagi mereka menjalankan saringan kesihatan dikelolakan agensi seperti ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp) melalui program PeKa B40, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Health Screening Program (HSP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan lain-lain hanya akan dipaparkan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

KKM menjelaskan mereka yang menjalankan saringan kesihatan sendiri atau telah mendapatkan suntikan imunisasi di fasiliti kesihatan swasta, rekod saringan kesihatan atau imunisasi boleh dimuat naik oleh pusat tersebut.

Menurut kenyataan itu bagi rekod imunisasi pula dapat dilihat setelah bayi yang baru dilahirkan diberikan suntikan imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di fasiliti kesihatan yang terlibat dalam Program Imunisasi Kebangsaan. 

"Suntikan imunisasi yang akan terpapar di MySejahtera adalah seperti Tetanus, Hepatitis B, Haemophilis Influenza, Diphteria (D), Tetanus (T) dan Acelullar Pertussia (AP) (DTAP), Measles, Mumps dan Rubella (MMR), Japanese Encephalitis (JE) dan COVID-19," jelas kenyataan itu



















Media Baharu