fb fb fb fb fb

KKM sasar 1.5 juta Keluarga Malaysia sertai Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan

(Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan)
pada Program Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)
Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah)


IPOH, 16 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 1.5 juta masyarakat di Malaysia membuat saringan kesihatan menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan
pada tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata sasaran itu ditumpukan kepada individu yang berusia 40 tahun dan ke atas serta tidak pernah melakukan saringan kesihatan.

"Kira-kira 53 peratus rakyat Malaysia dewasa tidak menjalani saringan kesihatan dalam tempoh setahun yang lepas.

"Angka ini menggambarkan bahawa kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan masih rendah.

“Oleh kerana itu, insiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dilaksanakan bermula Julai hingga Disember ini,"katanya sewaktu berucap melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringat negeri Perak di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin.

Jelas beliau, selain menerusi program KKM, usaha berkenaan turut digalakkan lagi oleh agensi lain seperti ProtectHealth Corporation yang menawarkan saringan kesihatan secara percuma melalui Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40) atau melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pencarum di bawah Program Saringan Kesihatan.

“Melalui PeKA B40, seramai enam juta rakyat layak menikmatinya, namun sehingga kini cuma 600,000 orang atau 10 peratus sahaja yang mendapat manfaat.

“Jadi, tampillah nanti sepanjang lima bulan akan datang untuk saringan kesihatan. Intervensi awal akan mengesan sebarang penyakit.

(Sasaran saringan kesihatan ditumpukan kepada individu yang berusia 40 tahun dan ke atas serta
tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan/FOTO HIASAN)
 

“Jangan tunggu sakit baru datang periksa kesihatan di klinik. Ia patut dirawat dari awal sebelum dipotong kaki kerana kencing manis atau terlantar akibat serangan angin ahmar,” katanya.

Katanya, KKM juga akan menambah rakan strategik termasuk sektor swasta yang menawarkan pakej saringan ransangan dengan diskaun dalam fasa kedua akan datang.


Media Baharu