fb fb fb fb fb

Lantikan wakil belia sebagai Senator, bukti kerajaan komited pembangunan belia

TUARAN, 16 Julai- Kerajaan akan melantik seorang Senator mewakili Majlis Belia Malaysia di Parlimen bagi memastikan suara belia didengari dalam membantu pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia juga menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap kepentingan belia dalam membina masa depan negara.

"Saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan kita dengari secara terus daripada wakil belia tersebut. Masa depan negara bergantung pada anda, golongan belia," kata Ismail Sabri ketika berucap sempena Perasmian Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran.

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia bagi tujuan pelaksanaan aktiviti persatuan-persatuan belia seluruh negara.

Hari Belia Negara merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan seluruh belia yang merupakan tunjang dalam pembangunan negara serta keutuhan Keluarga Malaysia.

Hampir 21.4% atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

Menurut Perdana Menteri, angka ini sangat signifikan sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara tersebut dalam ucapannya
bersempena Perasmian Hari Belia Negara 2022 hari ini di Tuaran)

Media Baharu