fb fb fb fb fb

Sahabat Maktab TH, bantu kelancaran ibadah haji

MAKKAH, 16 Julai- Program Sahabat Maktab yang dilaksana oleh Tabung Haji (TH) musim ini mencapai matlamat dan berfungsi dengan jayanya.

Program yang bermula pada 2006 itu bertujuan membantu petugas haji melancarkan urusan jemaah terutama kemuncak haji di masya'ir.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata semua sahabat maktab menyumbang bakti dengan penuh dedikasi memberi khidmat kepada dhuyufurrahman meskipun mereka juga dalam masa sama adalah jemaah dan baru pertama kali menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

"Kali pertama berwukuf di Arafah tetapi tuan-tuan dan puan-puan tidak menghiraukan kesibukan untuk berdoa tetapi tuan-tuan dan puan-puan juga telah bersama-sama dengan petugas-petugas haji untuk memberi khidmat kepada dhuyufurrahman, ini satu pengorbanan yang cukup luar biasa dan cukup hebat sekali," kata Syed Saleh kepada pemberita RTM di tanah suci, Makkah.


(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata demikian
dalam ucapannya pada majlis penghargaan Sahabat Maktab TH)

TH katanya menghargai setiap peranan yang dijalankan sahabat maktab sehingga membolehkan semua jemaah melengkapkan ibadah haji dengan sempurna.

Seramai 175 sahabat maktab merangkumi 135 sahabat maktab, 30 sahabat perubatan dan 20 sahabat medik berkhidmat pada musim kali ini.

Menurut Sahabat Maktab TH, Ahmad Naim Nuruddin Mohamad Suffian dan Abdul Rahman Shamsuddin, tugas terpuji itu digalas bagi memudahkan urusan semua jemaah negara termasuk petugas TH mengambil peluang untuk dapat beribadah.

"Alhamdulillah, kami saling membantu satu sama lain, berinteraksi, apabila jemaah ada masalah. Kami akan selesaikan satu persatu, Insya-Allah," kata Ahmad Naim kepada RTM.


(Sahabat Maktab TH, Ahmad Naim Nuruddin Mohamad Suffian)

"Mereka yang kurang upaya atau yang kuat dan sebagainya dan yang tak berkemampuan, kita boleh bantu untuk meringankan tugasan mereka ataupun memudahkan urusan ibadah mereka," kata Abdul Rahman kepada wakil RTM.

Bagi Zainudin Mohammad Husain dan Mohd Dzikri Mohd Nor pula, sikap terpuji ini wajar menjadi contoh setiap para jemaah seiring dengan ajaran Islam yang menekankan konsep akhlak terpuji.

"Kita datang sebagai hamba Allah dan kita harus sentiasa tolong menolong. Bantu mereka yang memerlukan dan buang sifat-sifat mazmumah dalam diri ini. Kita boleh hindar lah sikap-sikap tak baik ini," kata Zainudin kepada RTM.

"Ini antara satu pengorbanan. Kita melihat petugas-petugas Tabung Haji sangat besar pengorbanan mereka jadi kami turut terpanggil untuk menyumbang sesuatu sesama jemaah, Insya-Allah," tambah Mohd Dzikri kepada RTM.

Media Baharu