SHAH ALAM, 9 Julai - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah menjalankan pemantauan rapi sebelum menempatkan unit MyKiosk di mana-mana lokasi.
Langkah itu bagi memastikan tapak yang dipilih benar-benar strategik dan memberi pulangan kepada usahawan kecil.
Exco Selangor, Datuk Ng Suee Lim
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru, Datuk Ng Suee Lim berkata, penilaian awal penting agar MyKiosk tidak diletakkan di lokasi yang hambar dan kurang sambutan.
"Sebelum Ogos ini, kita nak ada pengisian 90 peratus dan saya mahu semua PBT lakukan pemantauan, supaya apabila kita letak MyKiosk biar teratur dan ditempatkan di lokasi sesuai.
"Pemantauan dibuat selama tiga bulan, kalau lokasi tidak sesuai dan tidak laris, MyKiosk boleh dipindahkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Taman Medan mengenai pelaksanaan Program MyKiosk anjuran Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Untuk rekod, sebanyak 1,028 unit MyKiosk dibina di seluruh negeri, dengan kos keseluruhan melebihi RM20 juta.
Daripada jumlah itu, RM19.5 juta dibiayai oleh KPKT, manakala selebihnya RM822,000 ditanggung oleh PBT termasuk penyediaan tapak.