KUANTAN, 9 Julai -Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini bagi mengesan seorang remaja lelaki yang dipercayai lemas di Sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Bandar Indera Mahkota, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, pasukan penyelamat menggunakan bot dan dron untuk memperluas kawasan pencarian, selain bersedia menggerakkan pasukan penyelam sekiranya diperlukan.
“Usaha pencarian tertumpu di sepanjang sungai dalam radius tiga hingga lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya.
Menurut beliau, operasi turut berdepan beberapa kekangan termasuk keadaan air yang keruh serta kawasan pencarian yang luas.
“Pencarian perlu dilakukan secara menyeluruh di banyak kawasan. Keadaan air yang keruh menyukarkan lagi pencarian mangsa,” tambah beliau.
Operasi SAR tersebut melibatkan seramai 42 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Antara cabaran utama yang dihadapi pasukan penyelamat ialah keadaan sungai yang berbahaya serta laporan kehadiran buaya di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan serangan buaya kerana tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut.
Dalam kejadian semalam, mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Mahkota Kota 2, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama tiga orang rakannya.