KUALA LUMPUR, 9 Julai -Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata tajam dalam persaingan geopolitik yang mesti didepani ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senario itu menunjukkan realiti bahawa kuasa kini bukan lagi alat untuk membentuk perdagangan dan menjana pertumbuhan, sebaliknya memberi tekanan, pengasingan dan mengenakan sekatan.
"Isu-isu ini membahayakan kita semua, tetapi kita di ASEAN mesti fokus usaha ke arah Asia Tenggara yang mempunyai masa depan. Kita mesti mengekalkan semangat kita untuk membawa rakyat ke arah yang lebih selamat.
"Kuasa sentiasa membentuk perdagangan. Tetapi hari ini, ia semakin mentakrifkannya. Di seluruh dunia, instrumen yang pernah digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk tekanan, diasingkan dan kawalan. Tarif, eksport sekatan, dan halangan pelaburan kini telah menjadi instrumen tajam persaingan geopolitik." katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif import yang dikenakan ke atas beberapa negara, termasuk, dalam kalangan negara ASEAN, bermula 1 Ogos ini.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, manakala Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta Laos dan Myanmar sehingga 40 peratus.
Trump berkata, langkah tersebu perlu diambil untuk 'melindungi industri tempatan AS' daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.