fb fb fb fb fb

MyCV pandang serius isu abai SOP pada program "RIUH EK!", serah siasatan kepada polis

PUTRAJAYA, 7 Mac- Susulan video tular sekumpulan pengunjung tidak mematuhi SOP pada program "RIUH EK!" yang berlangsung di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, syarikat di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), syarikat MyCreative Ventures Sdn. Bhd (MyCV) memandang serius perkara berkenaan.

Menurut kenyataan, arahan jelas telah diberi kepada syarikat pengurus acara agar Prosedur Operasi Standard (SOP) ini dipatuhi sepenuhnya demi memastikan keselamatan dan kesihatan para pengunjung.

"Insiden tersebut berlaku secara spontan oleh pengunjung dan bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur."

"Bagaimanapun, pihak penganjur bersama pasukan RELA telah mengambil tindakan segera dengan meleraikan mereka yang terlibat dan meminta mereka beredar dengan serta-merta agar SOP dipatuhi," tegas kenyataan itu.

Keterangan pihak penganjur telah diambil bagi membantu siasatan.

MyCV mengambil berat isu keselamatan dan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam semua acara.


(Kenyataan Media dikeluarkan MyCV Sdn. Bhd susulan insiden abai SOP di program "RIUH EK!"/FBKKMM)

"SOP yang khusus juga disediakan bagi setiap acara yang melibatkan orang ramai bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap pengunjung dan pempamer," tambah kenyataan itu.

Susulan itu, MyCV memohon maaf dan akan memastikan insiden sebegini tidak akan berulang di masa hadapan.

MyCV juga telah mengarahkan syarikat pengurus acara untuk mengambil langkah yang lebih ketat bagi Kembara RIUH di masa hadapan.

Media Baharu