fb fb fb fb fb

MyAirline tawar diskaun 20 peratus, elaun bagasi kepada pelajar

SEPANG, 30 Jun- Syarikat penerbangan tambang murah, MyAirline menawarkan diskaun 20 peratus serta elaun bagasi kepada pelajar yang menaiki penerbangan domestik bawah program 'MyAirline Student'.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelajar kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila melancong di dalam negara.

"Saya ingin memuji MyAirline kerana menawarkan program ini, ia sangat dekat di hati saya kerana ia adalah satu dasar, satu inisiatif yang saya harap dapat memainkan peranan dan sebagai Menteri Pengangkutan saya boleh melakukan sesuatu untuk membantu pelajar kita.

"Saya fikir ini salah satu cara kita boleh membantu pelajar kita terutamanya dari Sabah dan Sarawak kerana ada yang sukar untuk pulang ke kampung halaman walaupun sekali setahun," katanya.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)

Beliau bercakap kepada media selepas melancarkan laluan penerbangan baharu syarikat penerbangan tambang murah MyAirline ke Bangkok, Thailand di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 2, di sini hari ini.

Jelas beliau, pelajar seharusnya dapat meneruskan pendidikan yang paling sesuai untuk mereka di mana-mana sahaja di negara ini, tanpa dibelenggu kekangan kewangan dan geografi.

Tambahnya, penerbangan yang boleh dipercayai dan berpatutan adalah kunci untuk membolehkan pelajar mengejar peluang pendidikan terbaik dan mengukuhkan perpaduan.

Dalam pada itu, MyAirline akan beroperasi di dua lapangan terbang di Bangkok, dengan operasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 28 Jun dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang menjelang 1 Julai.

Sejak penerbangan sulungnya pada 1 Disember tahun lalu, MYAirline menghubungkan Kuala Lumpur dengan pelbagai destinasi popular seperti Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri.

E-kredit tiket penerbangan diperkenal Ogos depan

Dalam pada itu, Anthony berkata kementeriannya akan memperkenalkan sistem e-kredit tiket penerbangan, Ogos depan.

Keperluan itu bagi memudahkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pulang ke kampung semasa musim perayaan dan cuti semester.

Bantuan melibatkan pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan sebaliknya.

"Kerajaan melalaui Kementerian Pengangkutan pada tahun ini memang ada inisiatif untuk memberikan bantuan tiket kapal terbang kepada meereka, iaitu kita akan bagi satu bentuk kredit kepada mereka yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing untuk mereka membeli tiket kapal terbang," jelasnya.

Setakat ini, dianggarkan lebih 50,000 pelajar dari Sabah dan Sarawak menyambung pengajian di Semenanjung Malaysia.

Media Baharu