fb fb fb fb fb

Bank disaran terus bantu individu, PKS memerlukan - PM

(Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto fail Bernama)

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Bank-bank disaran untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan.

Ini termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa sama, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

"Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS.

"Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berkata industri perbankan memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik.

Ia terutama dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan sesi
dialog bersama wakil sektor perbankan, Rabu lalu/Foto PMO)

Pada Rabu lalu, satu sesi dialog diadakan Perdana Menteri bersama wakil sektor perbankan.

Sesi dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew serta wakil bank iaitu AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Pertemuan itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan mendapatkan buah fikiran serta pandangan berkaitan ekonomi negara.

Perbincangan turut menyentuh dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Penarafan kredit berdulat Malaysia pada 'A-'

Dalam sesi dialog itu, Perdana Menteri bersyukur dengan pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada 'A-' dengan tinjauan 'Stabil' oleh S&P Global Ratings, baru-baru ini.

Beliau berkata penarafan itu membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul susulan pelbagai ikhtiar yang diambil bagi menyokong momentum pertumbuhan dan mengurangkan tekanan inflasi.

"Kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan lagi usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI," tambahnya.

Media Baharu