KUALA LUMPUR, 26 Jun -Pengguna pas perjalanan bulanan My50 kini boleh memperbaharui pas mereka secara digital melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet, bermula 1 Julai ini, tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dan Prasarana untuk mempermudah akses pengangkutan awam, selari dengan aspirasi negara digital dan agenda Malaysia Madani.
“Saya yakin tiada lagi pelanggan perlu beratur panjang. Pendigitalan My50 adalah usaha berterusan kerajaan dan Prasarana untuk tingkatkan kemudahan pengguna pengangkutan awam, selari dengan aspirasi negara digital dan agenda tanpa tunai", katanya.
Menurut beliau, pengguna hanya perlu memiliki kad Touch ‘n Go versi NFC dan menjalani proses pengesahan identiti melalui eKYC (Electronic Know Your Customer) untuk mengaktifkan pembaharuan secara digital.
“Saya selalu terima aduan orang beratur panjang. Sekarang, tidak perlu lagi. Boleh perbaharui dari rumah, guna telefon sahaja", katanya pada majlis pelancaran di KL Sentral di sini, hari ini.
Inisiatif tersebut juga disifatkan sebagai mesra semua golongan, termasuk warga emas, dan mereka yang masih mahu memperbaharui pas secara fizikal masih boleh berbuat demikian menggunakan MyKad seperti biasa.
Tambah beliau, satu ciri baharu turut akan diperkenalkan dalam masa terdekat yang membolehkan pengguna menyemak corak perjalanan dan penjimatan bulanan mereka menerusi aplikasi eWallet.
Projek digitalisasi My50 dibangunkan sejak enam bulan lalu melalui kerjasama Prasarana dan Touch ‘n Go, dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.75 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan pelaksanaan sistem Transit Responsif Permintaan (DRT) iaitu perkhidmatan van mini untuk membantu penghuni flat dan apartmen ke stesen LRT atau MRT terdekat.
"Prasarana perlu tingkatkan pengurusan tempat letak kereta, tapi kami juga perkenalkan perkhidmatan DRT untuk galakkan orang guna pengangkutan awam. DRT akan disediakan dekat kawasan apartmen dan rumah pangsa supaya penduduk boleh naik van ke stesen LRT atau MRT dengan mudah", katanya.