PUTRAJAYA, 26 Jun – Kerajaan menzahirkan ucapan tahniah dan berbangga dengan pencapaian cemerlang MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, FELDA Trolak, yang berjaya merangkul Anugerah Emas 'Golden Diploma Award' di Republik Czech, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan kejayaan itu kerajaan akan meneliti langkah-langkah lanjut bagi memastikan kumpulan orkestra tersebut terus diberikan peluang dan sokongan pada masa hadapan.
"Apa yang menjadikan pencapaian ini cukup unik, kebanyakan pelajar daripada Felda Trolak ini pada awalnya tidak memiliki kemahiran dalam bermain alat muzik yang dipersembahkan.
"Namun dalam tempoh yang singkat, dengan bimbingan daripada RTM, mereka bukan sahaja mampu tampil yakin semasa membuat persembahan di Auditorium Media City, Angkasapuri, baru-baru ini bahkan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya.
MAWO menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara, sekali gus menjadi kumpulan terbaik dalam kategori tersebut selepas menerima markah tertinggi daripada panel juri profesional.
"Kejayaan ini lebih membanggakan apabila MAWO turut mencatat markah tertinggi daripada juri profesional, hasil mutu persembahan, kecekapan teknikal dan komposisi muzik bertaraf antarabangsa," tambahnya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.