KUALA LUMPUR, 26 Jun– Kecerdasan buatan (AI) berupaya memerangi rasuah apabila mampu mengesan penyimpangan dan salah laku dalam sistem pentadbiran negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa AI berupaya menganalisis data berskala besar, termasuk transaksi kewangan, laporan perolehan serta interaksi melibatkan pegawai perkhidmatan awam.
Melalui analisis menyeluruh itu, AI dapat membantu agensi penguatkuasaan mengenal pasti anomali dan jejak yang berpotensi menjadi petunjuk kepada perlakuan rasuah.
“Dengan pembangunan sistem amaran awal, AI mampu memberi isyarat segera terhadap potensi penyalahgunaan kuasa sebelum kerugian besar berlaku,” katanya.
Katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abd Shukor Mahmood semasa Majlis Penutup Seminar Tatakelola Kebangsaan 2025 (STAKE 2025) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia bagi tahun 2024 berada pada tahap 50 mata, meletakkan negara di kedudukan ke-57 daripada 180 negara yang dinilai.
Kedudukan itu mencerminkan tahap keyakinan rakyat serta pelabur terhadap integriti sistem pentadbiran negara pada masa kini.
Sehubungan itu, kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan skor CPI kepada antara 68 hingga 70 mata menjelang tahun 2033, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara paling berintegriti di dunia, selari dengan agenda reformasi tatakelola negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa teknologi AI hanyalah pelengkap kepada sistem keadilan sedia ada dan tidak seharusnya mengatasi prinsip serta lunas undang-undang negara.
“Kita tidak boleh membiarkan teknologi mendahului prinsip dan aturan yang kita bina. Jika tidak berhati-hati, kita bimbang menjadi hamba kepada yang tak berupa dan padah berkunjung tiba,” tambah beliau.