PERMATANG PAUH, 15 November -Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir dan Nur Shahirah Fatini Mohd Shaharuddin masing-masing dinobat sebagai johan Qari dan Qariah, Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang, tahun ini.
Kejayaan ini sekali gus menjadi tahun keempat bagi kedua-dua pendidik berusia 28 tahun itu merangkul gelaran juara.
Muhammad Umar mengakui, pengalamannya dalam bidang tersebut banyak membantu menghadapi cabaran semasa pertandingan. Selain persediaan menerusi latihan bacaan ayat Al-Quran secara harian.
Bagi Nur Shahirah pula, beliau tidak menyangka sekali lagi bergelar juara kerana terpaksa berdepan masalah kesihatan anaknya.
Keputusan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM10,000, plak penghargaan, hadiah iringan dan piala pusingan.
Majlis Penutupan Tilawah, Hafazan Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 1446 HIJRAH/2024 Masihi itu berlangsung di Dewan Besar, Universiti Teknologi Mara Kampus Permatang Pauh.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyempurnakan majlis tersebut.
Turut hadir; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.