PASIR MAS, 22 November - 45 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jajahan Pasir Mas telah menerima bekalan keperluan sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut, (MTL).
Agihan yang dilaksana sejak September lepas bagi memastikan semua keperluan mencukupi.
Pegawai JKM Pasir Mas, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit turut memaklumkan, 71 Pusat Pemindahan Sementara, (PPS) yang diwartakan, ditambah baik termasuk melibatkan aspek logistik, penyelarasan petugas serta pengoperasian pusat.
"Bagi memastikan pengurusan yang lebih teratur, pihak kami menggunakan aplikasi pendaftaran agar memperoleh maklumat yang lebih tepat.
"Sehubungan itu, penduduk disaran lebih peka dengan perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sepanjang musim monsun,"katanya.
MetMalaysia, sebelum ini meramalkan Kelantan bakal menerima antara lima hingga tujuh episod hujan lebat sehingga Mac depan, sekali gus meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai.