fb fb fb fb fb

MTL: JBPM tubuh Pasukan Gerak Cepat, fokus insiden banjir

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad

PUCHONG, 30 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi mempertingkat tindak balas terhadap banjir dan bencana lain semasa Monsun Timur Laut 2025/2026.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata pasukan khas itu berfungsi secara berasingan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan insiden banjir tanpa menjejaskan operasi harian di balai bomba.

“Pasukan Gerak Cepat ini sentiasa bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap panggilan kecemasan banjir, sama ada antara negeri atau antara daerah.

Setiap PGC terdiri daripada 18 anggota bagi memastikan tindakan pantas tanpa menjejaskan norma operasi di balai sedia ada,” kata Datuk Seri Nor Hisham ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2025/2026, di sini.

Sesi berkenaan turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Mengulas lanjut, beliau berkata JBPM turut mengagihkan 150 bot komuniti ke seluruh negara bagi membolehkan kerja pemindahan mangsa banjir dilaksanakan oleh komuniti setempat.

Antara kawasan yang menerima bot komuniti sebagai persediaan awal menghadapi musim monsun ialah Kuala Lipis (Pahang), Kuala Langat, Dengkil dan Kuala Selangor.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM