fb fb fb fb fb

Proses import produk halal dari AS kekal ikut piawaian JAKIM

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Proses kelulusan pengimportan produk halal dari Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS kekal seperti sedia ada, selari dengan piawaian halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menegaskan ART tetap perlu mematuhi keperluan standard halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan & Penandaan Halal 2011) bagi tujuan perdagangan dalam Malaysia.

"Kerajaan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap piawaian halal ditetapkan oleh JAKIM. 

"Pengiktirafan JAKIM ke atas mana-mana badan pensijilan halal di AS adalah berdasarkan proses audit dan pengesahan yang ketat dengan menilai keupayaan dan tahap pelaksanaan pematuhan terhadap standard halal Malaysia," jelas beliau di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung jaminan kementerian memastikan tiada kompromi terhadap standard halal dalam pemeteraian ART di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, MITI dan agensi-agensi berkaitan akan terus melaksanakan empat langkah proaktif dengan pemain industri terlibat bagi menjamin proses kelulusan pengimportan produk halal di Malaysia. 

Langkah tersebut adalah memperketatkan prosedur pengiktirafan dan pemantauan, menyelaras rundingan diplomatik dan teknikal, memberi maklumat dan panduan segera serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

ROSLINA BINTI DIN