BESERI, 30 Oktober -Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperuntukkan RM50,000 bagi pelaksanaan Projek Komuniti Tertumpu UniMAP Untuk Komuniti di Sanctuary Hopping, Timah Tasoh.
Tumpuan utama Program Tanggungjawab Sosial untuk komuniti itu bagi menaik taraf pelbagai kemudahan di kawasan ekopelancongan Santuari Ikan Air Tawar, Timah Tasoh termasuk penyediaan papan tanda dan pencahayaan kawasan sekitar.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Profesor Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata, inisiatif yang dilaksanakan UniMAP untuk berkongsi kepakaran intelektualnya bagi memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat setempat yang berteraskan teknologi transformasi komuniti serta menyalurkan pengetahuan melalui program-program seperti Program Pemindahan Ilmu.
Program berkenaan melibatkan kepakaran pensyarah UniMAP dalam pelbagai bidang yang turut dibantu pelajar dari Institut Kajian Strategik dan Komunikasi, Fakulti Perniagaan dan Komuniti, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi ELektronik dan Institut Agroteknologi Lestari.
"Sebab kita tahu di Perlis ini masih banyak tempat-tempat yang perlu kita bangunkan. Inilah tanggungjawab UniMAP kepada masyarakat sekitar yang mana selain daripada kita mencurahkan ilmu kepada pelajar, tetapi kita juga bawa pelajar ke tempat lapangan, kita panggil sebagai 'living lab' yang mana pelajar itu akan mengaplikasikan ilmu yang telah mereka pelajari untuk digunakan oleh masyarakat setempat," katanya kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan Projek Komuniti Tertumpu UniMAP Untuk Komuniti di Sanctuary Hopping, Timah Tasoh.
Program dilaksanakan sejak 2023 lalu kini siap sepenuhnya secara berfasa yang mana usaha digerakkan ini bakal melonjakkan potensi Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh sebagai lokasi tumpuan pelancong.