fb fb fb fb fb

KPM bersiap siaga hadapi MTL, kemungkinan banjir di Kedah

Foto RTM

ALOR SETAR, 30 Oktober -Kementerian Pendidikan (KPM) kini bersiap siaga menghadapi fenomena Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan bencana banjir di Kedah .

Menterinya Fadhlina Sidek menerusi kenyataan berkata, KPM berusaha memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap terbaik dan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terpelihara.

"Persediaan turut merangkumi keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir. Persediaan itu termasuk daerah dan sekolah berisiko banjir serta murid dan guru yang berkemungkinan terkesan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi MTL bersama-sama dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan  pegawai pendidikan daerah, di sini.

Fadhlina turut meninjau persiapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malek yang akan dijadikan pusat penempatan calon SPM sekiranya berlaku banjir.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Haji Idris, Pendang, beliau turut menziarahi penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan, yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Hingga petang ini, seramai 128 penduduk yang terjejas akibat banjir masih ditempatkan di PPS tersebut.

TETITIA YUSOFF