fb fb fb fb fb

Aktiviti rekreasi luar wajib guna juru pandu bertauliah, memiliki permit

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin

IPOH, 30 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya memastikan setiap aktiviti rekreasi luar seperti pendakian atau perkhemahan, dikendalikan penganjur dan juru pandu yang bertauliah.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata langkah itu penting bagi menjamin keselamatan peserta selain memastikan aktiviti dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan agensi berkaitan.

Jelas beliau, mana-mana aktiviti seumpama itu juga perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan serta dilaporkan kepada balai polis berhampiran sebelum dimulakan.

"Sebenarnya, permit itu bukan bertujuan untuk menyusahkan, sebaliknya untuk memaklumkan pihak berkuasa tentang aktiviti manusia di kawasan tersebut. Ini membolehkan kami bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan, kerana kami mengetahui laluan (rekod pergerakan) mereka.

Jika seseorang itu masuk tanpa permit, kami tidak tahu dari mana mereka bermula. Sekiranya berlaku kehilangan atau kemalangan secara tiba-tiba, sukar bagi kami untuk memulakan pencarian dan menentukan dari mana untuk mencari," kata Datuk Noor Hisam kepada pemberita, hari ini.

PDRM turut menasihatkan orang awam agar menangguhkan aktiviti rekreasi atau memancing sepanjang musim tengkujuh, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sekali gus meningkatkan risiko kepala air dan banjir kilat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM