GUA MUSANG, 28 Oktober – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kini bersiap sedia sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November.
Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor berkata persiapan termasuk pengendalian bantuan bakul makanan untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.
Katanya, JAKOA juga bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menghantar bantuan menggunakan helikopter ke perkampungan yang terputus hubungan akibat musim tengkujuh.
"Kita sudah bersiap sedia dengan bantuan bakul makanan awal, dan sekiranya perlu, bantuan akan dihantar menggunakan helikopter," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob, di sini pada Ahad.
Tambah Sapiah, permohonan untuk bantuan awal sedang diteliti, terutama bagi masyarakat Orang Asli di Kelantan dan Pahang.
Sebagai langkah awal, JAKOA telah menyerahkan bakul makanan kepada lebih 200 keluarga di Pos Gob.