KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menggunakan pendekatan edutainment iaitu gabungan konsep pendidikan (education) dan hiburan (entertainment) untuk menarik lebih ramai penyertaan awam, terutamanya generasi muda, dalam menyokong agenda peralihan tenaga dan kelestarian negara.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia dilaksanakan melalui program literasi tenaga secara bersepadu di bawah Malaysia Energy Literacy Program (MELP).
Menurut Fadillah, di bawah platform MELP, kesemua program literasi berkaitan tenaga diselaraskan dengan kerjasama daripada pelbagai jabatan kerajaan dan institusi.
Antaranya, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan syarikat-syarikat utiliti.
Di bawah MELP pada tahun ini modul dan sukatan pelajaran subjek ‘Literasi Tenaga’ ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan melaksanakan program Energy Efficiency (EE) Challenge oleh ST dengan melibatkan sekolah-sekolah di seluruh negara.
"Sepanjang 10 tahun pelaksanaannya, EE Challenge telah merekodkan penyertaan terkumpul sebanyak 1,157 buah sekolah dan sebanyak 7,017 peserta dalam pelbagai kategori.
"Berdasarkan kaji selidik, lebih peratus daripada peserta menunjukkan peningkatan dari aspek pemahaman mengenai cara-cara untuk mengurangkan penggunaan
tenaga di rumah dan sekolah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson) mengenai program pendidikan dan kesedaran oleh PETRA dalam usaha memperkasa peralihan tenaga dan kelestarian khususnya melibatkan golongan muda.
Tambah beliau, program flagship (utama) ini menyediakan akses kepada maklumat yang tepat dan dipercayai mengenai tenaga masyarakat terutamanya generasi muda mengenai peranan dan kepentingan peralihan tenaga.
Selain itu, PETRA juga telah mengadakan program kerjasama di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan The Star Media Group, “Powering the Future Workshops” yang melibatkan sebanyak 60 buah sekolah.
"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai penjimatan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
"... Dan merancakkan aktiviti kempen dan promosi mengenai kelestarian tenaga melalui media sosial dan saluran komunikasi lain seperti Kempen “Pesan Mak!," katanya.
Jelas Fadillah, program ini merupakan kempen kesedaran secara santai yang bertujuan menggalakkan amalan jimat tenaga di rumah dan tempat kerja, serta menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan pembaziran tenaga dan menangani perubahan iklim.