KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Sejumlah RM163 juta telah diterima Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi peruntukan Dana Kandungan Digital sejak tahun 2014 sehingga 2024.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata ia bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.
"Sehingga kini, sejumlah 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.
"Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pada sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya lagi, industri permainan digital Malaysia telah mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.
Ia sekali gus membuktikan bahawa industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi besar untuk dimajukan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program up-skilling, re-skilling serta banyak lagi.