KUANTAN, 11 Mei- Kerajaan Negeri Pahang menyumbang sebanyak RM2.734 juta bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 Mei ini bertempat di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai menyokong kepada penganjuran majlis itu, pihak kerajaan negeri turut menyumbang RM1,000 ‘duit poket’ setiap seorang kepada 110 peserta tilawah dan hafazan melibatkan peruntukan RM110,000.
Beliau berkata sumbangan tersebut adalah sebagai usaha berterusan kerajaan negeri menyuburkan syiar Islam di negeri itu, selain tanda ingatan kepada para peserta yang menyertai majlis tersebut.
"Bagi Negeri Pahang ia merupakan satu penghormatan dan kebanggaan kepada kita. Jadi untuk tujuan selanjutnya, Kerajaan Negeri Pahang menyumbang sedikit lebih kurang RM2 juta lebih.
"Terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kerana memberi sumbangan 'gold bar' 5 gram, nilai bersamaan nilai lebih kurang RM2,000", katanya pada Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-quran peringkat kebangsaan 2024 di Kuantan, Pahang.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im berkata, format bagi kategori Hafazan Al-Quran turut diubah bagi memberi lebih cabaran kepada peserta dengan soalan dikemukakan, tanpa menyebut atau dinyatakan nombor ayat, surah, juzuk dan muka surat seperti kelazimannya.
"Bagi hafazan Al-Quran kalau sebelum ini, hakim bertanya kepada peserta ayat mana,surah mana, muka surat mana akan ditanya kepada peserta.
"Untuk tahun ini untuk memastikan mereka menyertai benar-benar dapat hafaz Al-Quran, hakim hanya sekadar baca ayat sahaja tanpa menyebut surah mana, muka surat mana dan ayat berapa. Saya rasa format mencabar, sebab kita nak lahirkan peserta hafazan lelaki, perempuan berkualiti", katanya.
Tambahnya, penyertaan pada tahun ini juga diserikan dengan keunikan penyertaan oleh dua pasangan adik beradik bagi kategori Hafazan Al-Quran masing-masing dari negeri Kedah dan Pahang.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M pada tahun ini melibatkan 110 orang peserta membabitkan 29 peserta Tilawah Al-Quran dan 81 peserta Hafazan-Al-Quran.
Manakala, barisan jemaah hakim melibatkan seramai 12 orang hakim bagi kategori Tilawah Al-Quran dan 14 orang hakim bagi kategori Hafazan Al-Quran serta dua orang Timbalan Pengerusi, dua orang Setiausaha dan seorang Penolong Setiausaha yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Sempena penganjuran majlis itu tahun ini, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menaja hadiah tambahan kepada pemenang-pemenang, iaitu berupa bar emas YaPEIM seberat 5 gram kepada johan semua kategori tilawah dan hafazan.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 juga akan bersiaran secara langsung di saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah, radio-radio RTM, radio IKIM FM, WEB TV JAKIM (www.jakim.tv) dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM yang akan berlangsung bermula 9.00 pagi hingga 11.00 malam.