KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 menampilkan kelainan dengan menggunakan teknologi sistem tiga dimensi (3D) grafik realiti diperkukuhkan iaitu (AR).
Menurut Penerbit MTHQA, Suhardi Said, teknik AR ini pertama kali digunakan untuk pertandingan di peringkat antarabangsa ini bagi meraih perhatian dan menyentuh jiwa penonton untuk mendalami tadabbur ayat-ayat suci Al-Quran.
Menurutnya lagi, secara lazimnya penganjuran MTHQA akan melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah Al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan Al-Quran 30 juzuk.
Namun, pada tahun ini hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah Al-Quran sahaja pasca pandemik ini.
"Alhamdulillah, hampir 100 peratus kehadiran peserta daripada daripada luar negara telah tiba di sini dan kita akan mengadakan siaran langsung pada malam esok bermula pada 19 sehingga 24 Oktober ini.
Seramai 36 peserta dari 28 buah negara yang menyertainya dan kelainannya pada kali ini kita menggunakan teknik AR. Jadi saya menyeru, jika berkelapangan boleh datang ke planetarium KLCC ini dan kita akan siarkan secara langsung pukul 8.45 sehingga 11.00 malam," kata Suhardi kepada RTM di Putrajaya.
(Penerbit MTHQA, Suhardi Said)
Sebelum ini, para peserta telah disaring serta dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang Al-Quran.
MTHQA yang dianjurkan saban tahun oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini akan bermula ESOK dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.