fb fb fb fb fb

MPPK diarah sedia laporan berkaitan beban tugas, kebajikan guru

(Fadhlina Sidek bertemu dengan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2023-2025 di pejabatnya hari ini)

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sesi 2023-2025 diarah menyediakan laporan sulung berhubung beban tugas dan kebajikan guru, yang perlu dikemukakan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum pertengahan bulan depan.

“Sebagai tindakan segera dan arahan pertama, saya arahkan laporan sulung MPPK adalah untuk memberikan perhatian kepada teras yang sering saya tegaskan berkali-kali, iaitu hal berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” kata Fadhlina menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurutnya, hari ini beliau telah bertemu dengan Pengerusi MPPK 2023-2025 Datuk Dr Amin Senin yang baharu dilantik, bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit di samping berkaitan dengan isu pendidikan negara.

Merujuk kepada barisan MPPK baharu, katanya enam daripada sembilan ahli MPPK dipilih dalam kalangan mereka yang berlatarbelakangkan profesion keguruan, manakala pengerusinya pula dipilih dalam kalangan mantan Ketua Pengarah Pendidikan bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan itu kelak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.

"Barisan MPPK kali ini, saya pilih dengan memberikan keutamaan kepada beberapa kriteria. Pertama, enam daripada sembilan ahli MPPK ini dipilih dalam kalangan mereka yang berlatar belakangkan profesion keguruan.

"Kedua, pengerusi MPPK dipilih dalam kalangan mantan Ketua Pengarah Pendidikan. Hal ini penting bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan ini kelak, selari dengan dasar-dasar pendidikan kebangsaan, selain memahami dengan mendalam selok-belok, kerumitan dan kompleksiti kementerian terbesar di Malaysia ini.

"Ketiga, suka juga saya tekankan bahawa kriteria pemilihan kesemua ahli MPPK ini bukan berasaskan faktor bangsa tetapi atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh-tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini,"katanya dalam hantaran tersebut.

Fadhlina berkata ahli majlis MPPK akan mewujudkan jawatankuasa melibatkan setiap komposisi kaum, masyarakat Orang Asli, golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya, pemegang taruh pendidikan dan wakil pemimpin pelajar.

Tambahnya, KPM turut mengalu-alukan setiap maklum balas dan wakil NGO/komuniti yang ingin memberikan cadangan penambahbaikan pendidikan terutamanya terkait dengan murid, guru dan sekolah selain mengatur ruang konsultansi dengan kumpulan yang memperjuangkan kebajikan semua pemegang taruh.


(FOTO FB Fadhlina Sidek)

Media Baharu