fb fb fb fb fb

MPN syor teliti cadangan pembukaan sempadan negara


PUTRAJAYA, 10 Januari- Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan, langkah membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat kepada majlis itu.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pembukaan sempadan negara merupakan antara langkah penting yang akan menyokong proses pemulihan negara.

"Cadangan kita supaya satu jawatankuasa dibentuk antara beberapa kementerian tadi, dan bentangkan semula kepada pihak majlis (MPN) tentang bila dan bagaimana caranya sempadan negara kita dapat dibuka secara berperingkat,

"Pandangan majlis, kalau tidak ada satu perancangan yang jelas kami bimbang bahawa penutupan sempadan kita ni dalam satu tempoh yang tidak menentu akan membawa kesan cepat atau lambat kepada proses pemulihan negara," jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya.

Jelasnya lagi, MPN turut mengesyorkan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat perancangan awal, bagi persiapan sebelum bencana banjir dan langkah pemulihan pasca banjir yang berlaku setiap tahun.

Katanya NADMA, Jabatan Meteorologi dan Kementerian Alam Sekitar dan Air dicadangkan lebih proaktif untuk melihat kepada penggunaan teknologi jangkaan baharu, dalam menangani isu bencana alam sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, MPN turut mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Sumber Manusia, memperhalusi langkah untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing bagi sektor perikanan laut dalam.

Masalah berkenaan menyebabkan jumlah pendaratan ikan berkurangan dan bekalan ikan di pasaran terganggu, sekaligus menjejaskan pemulihan dalam sektor perikanan.

Media Baharu