fb fb fb fb fb

MPN syor KKM, KDN teliti langkah selamat buka semula sempadan



PUTRAJAYA, 11 Januari -Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan langkah membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat kepada majlis itu.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan negara merupakan antara langkah penting yang akan menyokong proses pemulihan negara.

"Cadangan kita supaya satu jawatankuasa dibentuk antara beberapa kementerian dan dibentangkan semula kepada pihak MPN, tentang bila dan bagaimana caranya sempadan negara kita dapat dibuka secara berperingkat.

Kalau tiada satu perancangan yang jelas kita bimbang bahawa penutupan sempadan kita ini dalam satu tempoh yang tidak menentu akan membawa kesan kepada cepat atau lambat proses pemulihan negara," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini.

Tambah Muhyiddin, MPN turut mengesyorkan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat perancangan awal bagi persiapan sebelum bencana banjir dan langkah pemulihan pasca banjir yang berlaku setiap tahun.

Katanya, NADMA, Jabatan Meteorologi dan Kementerian Alam Sekitar dan Air disaran supaya lebih proaktif untuk melihat penggunaan teknologi jangkaan baharu, dalam menangani isu bencana alam.

MPN turut mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Sumber Manusia untuk memperhalusi langkah bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing bagi sektor perikanan laut dalam.

Masalah berkenaan menyebabkan jumlah pendaratan ikan berkurangan dan bekalan ikan di pasaran terganggu, sekaligus menjejaskan pemulihan dalam sektor perikanan.

Media Baharu