PUTRAJAYA, 10 Januari -Penerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang daripada 517,414 penerima tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, jangkaan itu adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 ringgit sebelum ini.
"Kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup", katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini.
Tambah beliau, pihaknya telah meminta supaya urusan pemprosesan bantuan dipercepat dengan menggunakan teknologi yang memudahkan penerima.
Rina turut menekankan tentang kolaborasi dengan agensi dan kementerian lain supaya bantuan dapat dikoordinasi dengan lebih baik.