fb fb fb fb fb

MPHTJ sedia naik taraf kawasan awam, elak jadi 'sarang' masalah sosial

Foto FB MPHTJ

SUNGAI PUTAT, 24 Disember- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksana pelbagai inisiatif untuk memperindah dan memastikan kawasan Urban Reforestation, Sungai Putat selamat digunakan orang awam.

Menurut Yang Di-Pertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman, lokasi riadah itu sebelum ini terbiar sehingga menjadi sarang penagih dadah, namun kini dibangunkan semula menerusi program memperindah kawasan berkenaan.

Katanya, MPHTJ turut mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menjadikan lokasi itu sebagai tempat tumpuan riadah keluarga.

"Kawasan ini merupakan kawasan bermasalah sebelum ini. Terdahulu, kawasan ini tempat orang hisap dadah, tempat orang mabuk dan jugak tempat perbuatan yang tak senonoh sebab sebelum ini, di sini adalah hutan dan sekarang kita tukar kepada kawasan beriadah.

Kita akan kenal pasti lagi jika ada kawasan yang mempunyai masalah sama, kita akan ubah seperti ini juga," kata Shadan kepada pemberita RTM selepas menyempurnakan Program Jom Plogging @ Reforestation anjuran bersama MPHTJ-SWCorp Bersamamu 2022, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata misi membangunkan kawasan awam sebagai pusat rekreasi dan riadah akan diteruskan bagi mengelakkan daripada terbiar dan menjadi lokasi permasalahan sosial.

Setakat ini, MPHTJ telah dan sedang menaik taraf beberapa lokasi tumpuan awam sekitar kawasan pentadbirannya bagi memastikan ia selamat digunakan orang ramai.


(Yang Di-Pertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman ditemui media pada Program Jom
Plogging@Reforestation anjuran bersama MPHTJ-SWCorp Bersamamu 2022/FB MPHTJ)

Media Baharu