fb fb fb fb fb

MPB Sibu agih bantuan bernilai RM7.6 juta kepada pekebun kecil

SIBU, 6 Januari- Lembaga Lada Malaysia (MPB) Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.6juta bantuan lada kepada 346 orang pekebun kecil lada yang layak di kawasan seliaan MPB Sibu bagi tahun 2022.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah tersebut seramai 96 orang merupakan penerima Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) manakala seramai 250 orang pula daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM).

Jelasnya,kerajaan akan terus membantu menaiktaraf kehidupan para pekebun kecil lada di seluruh negara khususnya di negeri Sarawak melalui penyaluran pelbagai bantuan disamping terus memperkasa peranan MPB selaku badan yang mengawal selia aktiviti industri lada di negara ini.

"Bantuan itu dari segi baja dan juga racun selain memberi bantuan latihan teknikal dan sebagainya kepada pekebun-pekebun kecil,"katanya dalam satu sidang media di MPB, pejabat cawangan daerah Sibu.

Ketika ditemui pemberita, beliau turut berkata, "sehingga kini MPB memiliki sembilan buah pejabat cawangan di seluruh negeri Sarawak yang diselia oleh Pejabat Wilayah Sarawak iaitu di Serian, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Bintulu, Miri, Belaga dan
Sibu."

Tambahnya, MPB Sibu secara khususnya berperanan dalam menyelia aktiviti industri lada yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit.

Jumlah kawasan penanaman lada di Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 dan pusat pemprosesan Lada MPB Sibu telah memproses sebanyak 928.67 tan metrik lada hitam dan lada putih bagi tujuan eksport.

(Fadillah Yusof)

Media Baharu