TURIN, 13 Mei - Pesawat Rondaan Maritim (MPA) pertama daripada syarikat pertahanan Itali, Leonardo dijangka diserahkan kepada Malaysia pada akhir 2026.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pesawat kedua pula akan diterima tiga bulan selepas itu.
Kedua-dua pesawat merupakan sebahagian daripada perolehan hampir RM900 juta yang dimuktamadkan pada 2023.
Ia bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan pemantauan perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, pesawat berkenaan akan dilengkapi sistem peperangan anti-kapal selam dan anti-permukaan.
Struktur pesawat dibina di Toulouse, Perancis sebelum dipasang sistem taktikal di fasiliti Leonardo di Itali.
Setakat ini, kemajuan projek melebihi 60 peratus dan berjalan mengikut jadual.
MPA berkenaan dinamakan P-72M, berdasarkan pesawat komersial ATR 72-600 yang digunakan secara meluas di Asia Tenggara.
Fungsi utamanya ialah rondaan maritim, peperangan elektronik dan misi anti-kapal selam, selain tugasan sekunder seperti SAR dan penguatkuasaan pelbagai agensi.
Perolehan ini sebahagian daripada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) , dengan sasaran enam unit MPA secara berfasa.