fb fb fb fb fb

Kertas cadangan waktu kerja jururawat 45 jam seminggu dibentang Julai depan

Kertas cadangan waktu kerja jururawat 45 jam seminggu dibentang Julai depan. /Foto Bernama

PUTRAJAYA, 13 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Kabinet pada Julai depan mengenai pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat bawah seliaannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata proses perumusan cadangan tersebut kini berada di peringkat akhir.

“Saya cenderung untuk mengatakan bahawa saya mungkin terpaksa memohon untuk diberikan sebulan lagi bagi menyelesaikan dan merumuskan cadangan ini.

“Namun, yang penting adalah agar rumusan itu mencerminkan semua perkembangan dan pertimbangan dalam bidang kejururawatan, supaya budaya kerja yang adil dan selamat dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media pada Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan di Institut Kanser Negara hari ini.

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan dalam bentuk saranan menyeluruh sebagai respons KKM terhadap arahan pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Proses tersebut, katanya, akan melibatkan sesi libat urus dengan jururawat di seluruh negara.

“Cadangan ini akan dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum diangkat kepada Kabinet, dan ia memerlukan kelulusan peringkat tertinggi kerana ia adalah arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).”

Menurutnya, sesi libat urus dengan jururawat di seluruh negara hampir selesai.

“Hari ini, kami memberi perhatian kepada semua faktor dan sudut pandang dalam mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Untuk rekod, arahan baharu bawah SSPA menetapkan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu bermula 1 Disember 2024. Bagaimanapun, JPA telah melanjutkan tempoh persediaan pelaksanaan pendekatan tersebut hingga 1 Jun depan atas permintaan KKM.

Sebelum ini, waktu bekerja bagi jururawat adalah 42 jam seminggu.

MOHAN CHINNASAMY